Pendapatan terjejas teruk, peniaga katering menangis dapat moratorium – Keratan Akhbar Digital SelangorKini 14 Jun 2021
SHAH ALAM, 14 JUN: Dahulu Radzatul Mazwin, 42, meraih pendapatan sekitar RM15,000 sebulan hasil perniagaan katering dari rumah bersama ibunya.
Mereka hanya berniaga kecil-kecilan dengan menjual mi dan bihun sup, laksa, roti jala, tauhu bergedel selain aneka kuih-muih tradisional.
Namun, segalanya berubah apabila jangkitan Covid-19 semakin ganas merebak disusuli arahan sekatan pergerakan penuh sejak awal Jun.
Pendapatan Radzatul terjejas teruk. Kekangan menghantar makanan ke luar daerah menyebabkan dia rugi 90 peratus. Dia tiada pilihan. Perniagaan mesti diteruskan kerana itu satu-satunya punca rezeki.
Tiada lagi keuntungan lima angka. Malah, untuk meraih RM1,000 juga dirasakan sukar. Pernah terfikir untuk menggunakan khidmat e-panggilan, namun bimbang makanan rosak terutama masakan berkuah.
Buat masa ini, dia bertahan dengan tempahan daripada pelanggan berhampiran kediamannya di Seksyen 20 di sini. Soal untung dilupakan, Radzatul hanya ingin mendapatkan pusingan modal.
Moratorium pinjaman
Tawaran moratorium selama satu setengah bulan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada 9 Jun bagai memberi sinar baharu kepada Radzatul.
Dia yang membuat pinjaman modal berjumlah RM4,000 daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memang menantikan khabar gembira itu selepas bergelut dengan masalah aliran tunai.
Linangan air mata disusuli perkataan syukur meniti di bibirnya. Terasa ringan bebannya untuk membayar semula pinjaman RM50 setiap minggu.
“Alhamdulillah, saya terkejut apabila mendengar pengumuman itu baru-baru ini. Walaupun hanya untuk tempoh enam minggu, saya percaya inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban.
“Saya berterima kasih atas komitmen Kerajaan Negeri dan Hijrah yang menyediakan kemudahan ini. Mereka amat memahami kesukaran dialami peniaga seperti saya ketika ini,” katanya.
Radzatul antara 40,000 usahawan Hijrah yang diberi pengecualian bayaran pinjaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun.
Inisiatif dengan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta turut memanfaatkan individu yang ingin
memulakan perniagaan tetapi berdepan masalah modal dan pusingan.