Hijrah cari kaedah terbaik bantu usahawan jika PKPD disambung – Selangor Kini (16 Julai 2021)
SHAH ALAM, 16 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sedia berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi mencari jalan membantu usahawan Hijrah sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di negeri ini dilanjut.
Pengarah eksekutifnya berkata setakat ini moratorium telah diberikan selama enam minggu seperti yang diumum menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 dan akan berakhir 31 Julai ini.
“Masih belum ada keputusan untuk lanjutan moratorium setakat ini. Bagaimanapun, Hijrah sentiasa mengambil berat permasalahan peminjam.
“Jika PKPD berlanjutan atau sebarang kemungkinan berlaku mengikut pengumuman kerajaan persekutuan, pihak Hijrah akan berbincang semula,” kata Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor ketika dihubungi.
Katanya, kaedah lain dalam meringankan beban usahawan akan difikirkan seperti penjadualan semula bayaran dengan peminjam boleh merujuk kepada pegawai Hijrah masing-masing.
Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta disalurkan susulan Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.
PKPD selama dua minggu membabitkan 34 mukim dalam lapan daerah Selangor bagi membendung Covid-19 bermula 3 Julai lalu dan sepatutnya berakhir hari ini.